SEJARAH MATAWANG MALAYA DAN BRITISH BORNEO DOLLAR
Dari Facebook Borneo Oracle
Suatu waktu dahulu kita pernah mempunyai matawang sendiri yang digelar
Sarawak Dollar iaitu semasa Negara Sarawak dibawah pemerintahan Keluarga
Brooke yang memerintah Sarawak selama lebih kurang 100 tahun. Setelah
pendudukan Jepun pula kita di Sarawak juga telah menggunakan Matawang
Daun Pisang Jepun dan mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah pula
matawang yang digunakan oleh Sarawak sewaktu ianya dibawah jajahan
Koloni British. Untuk kali ini, artikel yang akan dipaparkan oleh Borneo
Oracle adalah Sejarah Matawang Malaya dan British Borneo Dollar yang
juga merupakan matawang yang diperkenalkan kepada mana-mana jajahan
Koloni British pada suatu waktu dahulu.
Malaya dan British
Borneo Dolar adalah matawang Malaya, Singapura, Sarawak, Borneo Utara
(Sabah) dan Brunei pada tahun 1953 hingga 1967. Apabila Persekutuan
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31hb Ogos 1957, matawang ini
tetap terus digunakan walaupun pembentukan Gagasan Malaysia pada 16
September 1963 oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan
Singapura direalisasikan.
Pada 12hb Jun 1967, kelima-lima
negara iaitu Gagasan Malaysia ( Persekutuan Tanah Melayu + Sabah +
Sarawak), Negara Singapura yang keluar daripada Gagasan Malaysia pada
tahun 1965 dan membentuk negara sendiri serta Negara Brunei Darussalam
yang menggunakannya telah memutuskan untuk mengeluarkan nota matawang
mereka sendiri namun tetap menyimpannya sebagai pertukaran matawang pada
peringkat par. Walau bagaimanapun negara yang membentuk Gagasan
Malaysia pada masa itu telah menarik diri daripada perjanjian tersebut
pada tahun 1973. Namun untuk Negara Singapura dan Negara Brunei
Darussalam, kedua-dua negara ini masih lagi meneruskan perjanjian ini
sehinggalah ke hari ini.
Bagi memperingati peristiwa yang
penuh bermakna ini pada 27hb Jun 2007, Negara Brunei Darussalam dan
Negara Singapura telah mengabadikan peristiwa yang penuh bermakna ini
dengan kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengeluarkan matawang nota
polimer bernilai $20 dengan menggunakan warna yang sama dan rekabentuk
di bahagian belakang nota masing-masing.
Inilah sekelumit
sejarah matawang Dollar Malaya dan British Borneo yang pernah menjadi
matawang bagi rakyat Sarawak suatu waktu dahulu. Walaupun perjanjian
antara negara ini telah terbatal namun begitu Negara Singapura dan
Negara Brunei Darussalam tetap masih lagi menggunakannya sehingga ke
hari ini dengan matawang Dollar Singapura dan Dollar Brunei manakala
Gagasan Malaysia terus menggunakan Ringgit Malaysia sehinggalah
sekarang.
Borneo Oracle Sarawak History