Tuesday, August 13, 2013

Borneo Oracle :: Sarawak Sekali Merdeka Tetap Merdeka


SARAWAK BUMI KENYALANG – SEKALI MERDEKA TETAP MERDEKA 22 JULAI 1963

Dari Facebook Borneo Oracle



22 Julai 2013 ini maka genaplah 50 tahun Sarawak Bumi Kenyalang yang mendapat kemerdekaan daripada Kerajaan Koloni British. Kemerdekaan yang dikecapi atas jerih perih pejuang-pejuang Bangsa Sarawak yang terdahulu di dalam memastikan siapa kita sekarang. Untuk paparan kali ini, Borneo Oracle akan memberikan sedikit ruang informasi tentang perjalanan Negara Sarawak sebagai sebuah negara merdeka bermula daripada tahun 1841 sehinggalah 1963. Artikel kali ini adalah Sarawak Bumi Kenyalang – Sekali Merdeka Tetap Merdeka 22 Julai 1963.

Kita mulai pembuka bicara dengan merujuk kepada Sarawak pada zaman dahulu adalah salah satu tanah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei. Setelah kedatangan James Brooke yang pada asalnya datang untuk memberikan hadiah diatas pertolongan Raja Muda Hashim yang kemudiannya telah ditawarkan untuk membantu Raja Muda Hashim menyelesaikan pergolakan tempatan segalanya telah mengubah lanskap sejarah Sarawak pada masa itu. Pemerintahan Brooke bermula pada tahun 1841 melalui sistem beraja. Pentadbiran beliau telah mengubahsuai sistem Barat dengan menggabungkannya dengan unsur tempatan. James Brooke mengekalkan jawatan ketua Melayu Sarawak sebagai penasihat kanan dalam pentadbirannya seperti Datu Patinggi, Datu Temenggung, Datu Bandar dan Datu Imam. Disinilah bermulanya peranan Datu Patinggi Ali yang merupakan penasihat dan Perdana Menteri Sarawak yang pertama pada masa itu. Rajah James Brooke sebagai rajah yang pertama telah menggubal Perlembagaan Sarawak 1841 yang banyak bersangkutan dengan sistem pentadbiran yang mengambilkira kehendak penduduk Sarawak itu sendiri.

Pada tahun 1855 James Brooke telah menubuhkan Majlis Tertinggi. Majlis ini bertujuan membuat dasar pentadbiran Sarawak. Majlis ini memberi peluang kepada pegawai dan pembesar dari kawasan baru untuk membuat dasar-dasar pentadbiran. Majlis ini bersidang sebulan sekali dengan James Brooke sebagai presidennya dan anggotanya terdiri daripada orang Eropah dan kaum-kaum di Sarawak. Selain daripada itu sebagai satu proses menyelaras untuk rakyat, Majlis Tempatan juga dibentuk bagi memudahkan kawalan perbelanjaan serta pengurusan hal ehwal pelajaran rakyat di suatu kawasan. Ketua-ketua daripada kawasan setempat akan menjadi ahli di dalam Majlis Tempatan ini.

Semasa pemerintahan Charles Brooke, beliau meneruskan sistem pemerintahan tradisional James Brooke. Melihat kepada betapa pentingnya Negara Sarawak diiktiraf sebagai sebuah NEGARA YANG MERDEKA maka pada tahun 1864, hasil daripada usaha beliau yang juga terkenal dengan reputasinya sebagai Rajah Sarawak yang terbaik mentadbir Sarawak maka Kerajaan Amerika Syarikat dan juga Kerajaan Mahkota British melalui Baginda Ratu telah mengiktiraf Negara Sarawak sebagai sebuah NEGARA MERDEKA. Rajah Charles Brooke terus memberi khidmat yang cemerlang dengan melakukan perubahan dalam pentadbiran iaitu dengan menubuhkan sebuah Majlis Negeri pada tahun 1865. Majlis ini dianggotai oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tempatan. Majlis ini boleh meluluskan undang-undang serta membuat dasar pentadbiran Sarawak, tetapi tidak boleh menggubal undang-undang. Sarawak pula dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu setiap bahagian ditadbir oleh seorang Residen Eropah yang dibantu oleh Pegawai Anak Negeri, pegawai rendah dan ketua-ketua suku. Residen bertanggungjawab dalam pentadbiran umum dan berperanan sebagai Presiden mahkamah. Di peringkat kampung telah dilantik ketua Melayu dan Cina untuk mentadbir kampung mereka. Manakala untuk kaum-kaum lain mempunyai Orang Kaya atau Penghulu sebagai wakil mereka.

Rajah ke-3 iaitu Charles Vyner Brooke telah menubuhkan sebuah perlembagaan baru berdasarkan Perlembagaan 1941. Perlembagaan ini menyerahkan kuasa mutlak Rajah Sarawak kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri. Majlis Tertinggi akan berfungsi sebagai Majlis Eksekutif sementara Majlis Negeri sebagai Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi akan mempunyai lima orang ahli. Manakala Majlis Negeri 25 orang ahli . Rajah C.V Brooke melantik sendiri ahli kedua-dua majlis tersebut. Sarawak pula dijanjikan kemerdekaan. Perlembagaan Sarawak tidak dapat dilaksanakan kerana serangan Jepun pada tahun 1941.

Pada 1 Julai 1946, Sarawak menjadi tanah jajahan British walaupun terdapat penentangan yang dilakukan oleh rakyat Negara Sarawak pada masa itu yang dikenali sebagai Gerakan Anti-Penyerahan. Namun setelah hukuman dijatuhkan kepada Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13, gerakan anti-penyerahan ini terus terkubur dan seterusnya British kekal memerintah di Negara Sarawak. Sewaktu pemerintahan British ini pentadbiran mengikut Perlembagaan 1941 telah dikekalkan selama 10 tahun yang pertama. Pada tahun 1948, Majlis Tempatan ditubuhkan untuk memberi latihan kepada penduduk peribumi dalam pemerintahan. Majlis ini berkuasa menguruskan pelajaran, kesihatan, bekalan air dan elektrik, jalan raya dan pungutan cukai.

Pada tahun 1956, perlembagaan baru diluluskan. Pilihan raya tempatan mula diperkenalkan buat pertama kali pada bulan November 1957 untuk memilih Ahli Majlis Perbandaran Kuching.

Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud untuk membantu Gabenor Sarawak.Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri. Pada tahun 1959 pilihanraya untuk Majlis Tempatan diadakan. Ahli Majlis Daerah memilih wakil-wakil ke Majlis Bahagian dan mereka pula akan memilih wakil-wakil ke Majlis Mesyuarat Negeri. Pilihan raya untuk memilih Majlis Tempatan ini terus dikekalkan sehingga Sarawak bergabung membentuk Malaysia.

Pada tanggal 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana menteri kepada Persekutuan Tanah Melayu telah mengwar-warkan tentang gagasan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada 5 buah negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak. Antara sebab-sebab keatas cadangan pembentukan gagasan ini bagi menyekat pengaruh komunis yang mula menular di Asia Tenggara, mengimbangi jumlah penduduk dan meningkatkan kemajuan ekonomi serta mempercepatkan proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara yang masih lagi merupakan negara jajahan Koloni British pada masa itu sedangkan Persekutuan Tanah Melayu sudahpun merdeka pada 31 Ogos 1957.

Pada dasarnya Singapura menyambut baik idea pembentukan gagasan tersebut manakala Brunei enggan menyertainya sejak dari awal lagi. Sarawak dan Borneo Utara yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri iaitu pemerintahan Negara Berautonomi di dalam Gagasan Malaysia.

Walaupun secara dasarnya ianya telah dipersetujui tetapi bagi memberi keadilan kepada semua, pada 17 Januari 1962, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan daripada penduduk-penduduk di Borneo Utara dan Sarawak. Suruhanjaya ini dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold (Cobbold Commission) yang dianggotai oleh 5 orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha. Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Akhirnya pada 1 Ogos 1962, Laporan daripada Suruhanjaya Cobbold telah siap dan diserahkan kepada Kerajaan British. Antara intipati laporan tersebut adalah:

- Persekutuan yang ditubuhkan bersetuju dan sesuai dengan nama “Malaysia”.
- Pemberian Kuasa menentukan hal ehwal agama dan dasar imigresen di beri kuasa pada Majlis Undangan Negeri Borneo Utara dan Sarawak.
- Kaum pribumi Borneo Utara dan Sarawak diberi kedudukan istemewa dan di kekalkan.
- Perwakilan Borneo Utara dan Sarawak akan diwujudkan dalam Parlimen Malaysia.
- Bagi memudahkan pengendalian hal ehwal kewangan, kewarganegaraan, kedudukan bumiputra, kebebasan beragama,dan pendidikan, penubuhan sebuah jabatan persekutuan di cadangkan ditubuh di Sarawak dan Borneo Utara.
- Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) hendaklah ditubuhkan dan jawatankuasa ini bertanggung jawab menjamin hak dan kepentingan rakyat Borneo Utara dan Sarawak agar tidak tergugat apabila menyertai Gagasan Malaysia kelak.

Suruhanjaya ini menyimpulkan bahawa pembentukan Gagasan Malaysia harus dilaksanakan. Namun, Lord Cobbold juga menekankan bahawa semua negara yang membentuk Gagasan Malaysia sebagai rakan sejajar. Penemuan tersebut diringkaskan oleh Lord Cobbold sebagai berikut:

“About one-third of the population of each territory strongly favours early realisation of Malaysia without too much concern about terms and conditions. Another third, many of them favourable to the Malaysia project, ask, with varying degrees of emphasis, for conditions and safeguards varying in nature and extent: the warmth of support among this category would be markedly influenced by a firm expression of opinion by Governments that the detailed arrangements eventually agreed upon are in the best interests of the territories. The remaining third is divided between those who insist on independence before Malaysia is considered and those who would strongly prefer to see British rule continue for some years to come. If the conditions and reservations which they have put forward could be substantially met, the second category referred to above would generally support the proposals. Moreover once a firm decision was taken quite a number of the third category would be likely to abandon their opposition and decide to make the best of a doubtful job. There will remain a hard core, vocal and politically active, which will oppose Malaysia on any terms unless it is preceded by independence and self-government: this hard core might amount to near 20 per cent of the population of Sarawak and somewhat less in North Borneo.”
—Lord Cobbold, Cobbold Commission

Setelah kata sepakat dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Gagasan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Borneo Utara pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kesemua negara gabungan berserta Kerajaan British bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membenarkan negara-negara ini bergabung untuk membentuk Gagasan Malaysia dan Gagasan Malaysia hanya akan wujud pada 31hb Ogos, 1963. Jadi Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan Borneo Utara merdeka pada 31 Ogos 1963.

Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoriti penduduk North Borneo (Sabah) dan Sarawak tersebut menyokong untuk membentuk Gagasan Malaysia. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah gagasan yang dikenali sebagai Malaysia.

Bagi merealisasikan janji kepada Sarawak dan Borneo Utara yang telah bersetuju untuk membentuk gagasan Malaysia dengan berkerajaan sendiri maka terdapat perkara yang dikhaskan untuk kedua-dua negara ini yang dikenali sebagai Perkara 18 bagi Sarawak dan 20 bagi Borneo Utara di dalam Perjanjian Malaysia 1963. PERKARA 18/20 INILAH YANG MENJADIKAN SARAWAK SEBAGAI SEBUAH NEGARA BERAUTONOMI DI DALAM PEMBENTUKAN NEGARA BERGELAR GAGASAN MALAYSIA.

Inilah rentetan sejarah perjalanan sebuah Negara Merdeka yang bergelar Negara Sarawak Bumi Kenyalang. 22hb Julai 2013 ini adalah HARI PERAYAAN JUBLI EMAS KEMERDEKAAN SARAWAK dan adalah perlu untuk kita merayakannya. MENJADI HARAPAN BORNEO ORACLE ATAU MUNGKIN SELURUH RAKYAT SARAWAK AGAR TARIKH KERAMAT INI DIINGATI DENGAN MEMBERIKAN CUTI UMUM KEPADA BAGI NEGARA SARAWAK KERANA HANYA DENGAN ITU RAKYAT AKAN MUDAH MENGINGATINYA SABAN TAHUN. MARILAH RAKYAT SARAWAK KITA PERJUANGKAN SEJARAH KITA YANG SEBENAR KERANA INI HAK KITA. KITA PERHEBATKAN KESEDARAN KITA AGAR SEJARAH KITA TIDAK DILUPAKAN OLEH GENERASI MUDA KITA.

TANPA SEJARAH LEPAS TIADALAH KITA SEKARANG.

Borneo Oracle Negara Sarawak Bumi Kenyalang