LEGENDA KELING & KUMANG DI DALAM MASYARAKAT IBAN SARAWAK
Dari Facebook Borneo Oracle
Bila ada pertandingan Keling Dan Kumang Gawai apabila tiba Perayaan
Pesta Gawai di Sarawak sudah tentu ramai yang akan tersenyum-senyum
membayangkan betapa cantik dan gagah perkasanya peserta-peserta
pertandingan tersebut. Namun begitu kita mungkin tidak mengetahui bahawa
ada legenda bagi pertandingan yang telah dicatatkan di dalam kalendar pelancongan ini. Cerita ini dikenali sebagai Legenda Keling dan Kumang di dalam masyarakat Iban, Sarawak.
Menurut cerita lisan orang-orang tua di dalam masyarakat Iban, Keling
ialah nama seorang pahlawan Iban yang tinggal di rumah panjang Panggau
Libau Lendat Dibiau Takang Isang. Keling ini diceritakan sebagai seorang
yang berpesonaliti idaman setiap lelaki berbangsa Iban pada waktu itu.
Keling digambarkan sebagai seorang lelaki yang gagah, berani, berbadan
tegap dan mempunyai wajah yang tampan. Keling telahpun berkahwin dengan
seorang gadis Iban yang bernama Kumang. Kumang diceritakan berasal
daripada rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang
Nyerabang. Sesuai dengan ketampanan Keling, Kumang pula diceritakan
sebagai seorang wanita Iban yang cantik, lemah lembut dan pandai di
dalam serba-serbi untuk menjadi seorang isteri dambaan suami pada ketika
itu. Bolehlah digambarkan bahawa perkahwinan Keling dan Kumang umpama
bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama padan.
Pada satu
ketika diceritakan bahawa isteri Keling, Kumang telah diculik
bersama-sama dengan Lulong, isteri kepada sahabat baik Keling iaitu
Laja. Kejadian ini berlaku apabila Kumang dan Lulong sedang mencari ikan
(mansai) di sebatang sungai. Sedang mereka asyik mencari ikan itu tanpa
mereka sedari mereka telah melencong jauh sehingga ke kawasan sempadan
yang dijaga oleh Apai Sabit Berkait. Kerana melihat kepada kecantikan
kedua-dua wanita ini terutamanya Kumang, Apai Sabit Berkait telah
bertindak menyimpan mereka di dalam sangkar besi di rumahnya. Keling dan
Laja yang gundah gulana kerana risau memikirkan kehilangan
isteri-isteri mereka akhirnya mendapat berita bahawa Apai Sabit Berkait
yang empunya kerja itu. Keling bertemankan Laja terus pergi ke kawasan
Apai Sabit Berkait dan sebelum dia sampai ke kawasan dimana tempat
isterinya disembunyikan, Keling telah menggunakan kuasa ghaibnya atau
Tau Ajih. Kuasa ghaib ini akan membolehkan beliau menghilangkan diri
daripada penglihatan musuh. Dengan mudahnya Keling dapat melepaskan
isterinya Kumang dan Lulong tanpa disedari oleh Apai Sabit Berkait.
Kerana kesaktian pahlawan Keling ini maka dikatakan bahawa selepas
pemergian beliau barangsiapa yang mendapat mimpi didatangi beliau akan
menjadi seorang yang berani dan menjadi pahlawan atau dipanggil Raja
Berani. Di dalam cerita lisan orang-orang tua masyarakat Iban ada
mengatakan bahawa beberapa pahlawan Iban seperti Dana Bersumbar Bayang,
Orang Kaya Pemancha Nanang dan Unggang Lebor Menua menjadi pahlawan yang
berani dan tidak takut berani serta gagah yang amat sangat sehingga
sukar untuk dikalahkan adalah kerana telah mendapat “bantuan” secara
batin melalui mimpi oleh Keling.
Walau bagaimanapun bentuk
penceritaan legenda Keling dan Kumang ini yang diperturunkan dari zaman
berzaman melalui penceritaan dari mulut ke mulut, namun Keling dan
Kumang sememangnya amat dihormati dan mempunyai kaitan yang rapat dengan
adat dan tradisi masyarakat Iban. Keling dan Kumang bolehlah
diistilahkan sebagai “role models” di dalam masyarakat Iban.
Borneo Oracle Sarawak Heritage