Tuesday, August 13, 2013

Borneo Oracle :: Sarawak Sekali Merdeka Tetap Merdeka


SARAWAK BUMI KENYALANG – SEKALI MERDEKA TETAP MERDEKA 22 JULAI 1963

Dari Facebook Borneo Oracle



22 Julai 2013 ini maka genaplah 50 tahun Sarawak Bumi Kenyalang yang mendapat kemerdekaan daripada Kerajaan Koloni British. Kemerdekaan yang dikecapi atas jerih perih pejuang-pejuang Bangsa Sarawak yang terdahulu di dalam memastikan siapa kita sekarang. Untuk paparan kali ini, Borneo Oracle akan memberikan sedikit ruang informasi tentang perjalanan Negara Sarawak sebagai sebuah negara merdeka bermula daripada tahun 1841 sehinggalah 1963. Artikel kali ini adalah Sarawak Bumi Kenyalang – Sekali Merdeka Tetap Merdeka 22 Julai 1963.

Kita mulai pembuka bicara dengan merujuk kepada Sarawak pada zaman dahulu adalah salah satu tanah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei. Setelah kedatangan James Brooke yang pada asalnya datang untuk memberikan hadiah diatas pertolongan Raja Muda Hashim yang kemudiannya telah ditawarkan untuk membantu Raja Muda Hashim menyelesaikan pergolakan tempatan segalanya telah mengubah lanskap sejarah Sarawak pada masa itu. Pemerintahan Brooke bermula pada tahun 1841 melalui sistem beraja. Pentadbiran beliau telah mengubahsuai sistem Barat dengan menggabungkannya dengan unsur tempatan. James Brooke mengekalkan jawatan ketua Melayu Sarawak sebagai penasihat kanan dalam pentadbirannya seperti Datu Patinggi, Datu Temenggung, Datu Bandar dan Datu Imam. Disinilah bermulanya peranan Datu Patinggi Ali yang merupakan penasihat dan Perdana Menteri Sarawak yang pertama pada masa itu. Rajah James Brooke sebagai rajah yang pertama telah menggubal Perlembagaan Sarawak 1841 yang banyak bersangkutan dengan sistem pentadbiran yang mengambilkira kehendak penduduk Sarawak itu sendiri.

Pada tahun 1855 James Brooke telah menubuhkan Majlis Tertinggi. Majlis ini bertujuan membuat dasar pentadbiran Sarawak. Majlis ini memberi peluang kepada pegawai dan pembesar dari kawasan baru untuk membuat dasar-dasar pentadbiran. Majlis ini bersidang sebulan sekali dengan James Brooke sebagai presidennya dan anggotanya terdiri daripada orang Eropah dan kaum-kaum di Sarawak. Selain daripada itu sebagai satu proses menyelaras untuk rakyat, Majlis Tempatan juga dibentuk bagi memudahkan kawalan perbelanjaan serta pengurusan hal ehwal pelajaran rakyat di suatu kawasan. Ketua-ketua daripada kawasan setempat akan menjadi ahli di dalam Majlis Tempatan ini.

Semasa pemerintahan Charles Brooke, beliau meneruskan sistem pemerintahan tradisional James Brooke. Melihat kepada betapa pentingnya Negara Sarawak diiktiraf sebagai sebuah NEGARA YANG MERDEKA maka pada tahun 1864, hasil daripada usaha beliau yang juga terkenal dengan reputasinya sebagai Rajah Sarawak yang terbaik mentadbir Sarawak maka Kerajaan Amerika Syarikat dan juga Kerajaan Mahkota British melalui Baginda Ratu telah mengiktiraf Negara Sarawak sebagai sebuah NEGARA MERDEKA. Rajah Charles Brooke terus memberi khidmat yang cemerlang dengan melakukan perubahan dalam pentadbiran iaitu dengan menubuhkan sebuah Majlis Negeri pada tahun 1865. Majlis ini dianggotai oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pegawai-pegawai tempatan. Majlis ini boleh meluluskan undang-undang serta membuat dasar pentadbiran Sarawak, tetapi tidak boleh menggubal undang-undang. Sarawak pula dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu setiap bahagian ditadbir oleh seorang Residen Eropah yang dibantu oleh Pegawai Anak Negeri, pegawai rendah dan ketua-ketua suku. Residen bertanggungjawab dalam pentadbiran umum dan berperanan sebagai Presiden mahkamah. Di peringkat kampung telah dilantik ketua Melayu dan Cina untuk mentadbir kampung mereka. Manakala untuk kaum-kaum lain mempunyai Orang Kaya atau Penghulu sebagai wakil mereka.

Rajah ke-3 iaitu Charles Vyner Brooke telah menubuhkan sebuah perlembagaan baru berdasarkan Perlembagaan 1941. Perlembagaan ini menyerahkan kuasa mutlak Rajah Sarawak kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri. Majlis Tertinggi akan berfungsi sebagai Majlis Eksekutif sementara Majlis Negeri sebagai Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi akan mempunyai lima orang ahli. Manakala Majlis Negeri 25 orang ahli . Rajah C.V Brooke melantik sendiri ahli kedua-dua majlis tersebut. Sarawak pula dijanjikan kemerdekaan. Perlembagaan Sarawak tidak dapat dilaksanakan kerana serangan Jepun pada tahun 1941.

Pada 1 Julai 1946, Sarawak menjadi tanah jajahan British walaupun terdapat penentangan yang dilakukan oleh rakyat Negara Sarawak pada masa itu yang dikenali sebagai Gerakan Anti-Penyerahan. Namun setelah hukuman dijatuhkan kepada Rosli Dhoby dan rakan-rakannya di dalam Rukun 13, gerakan anti-penyerahan ini terus terkubur dan seterusnya British kekal memerintah di Negara Sarawak. Sewaktu pemerintahan British ini pentadbiran mengikut Perlembagaan 1941 telah dikekalkan selama 10 tahun yang pertama. Pada tahun 1948, Majlis Tempatan ditubuhkan untuk memberi latihan kepada penduduk peribumi dalam pemerintahan. Majlis ini berkuasa menguruskan pelajaran, kesihatan, bekalan air dan elektrik, jalan raya dan pungutan cukai.

Pada tahun 1956, perlembagaan baru diluluskan. Pilihan raya tempatan mula diperkenalkan buat pertama kali pada bulan November 1957 untuk memilih Ahli Majlis Perbandaran Kuching.

Mengikut perlembagaan 1956, Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri terus wujud untuk membantu Gabenor Sarawak.Ahli Majlis Tertinggi sebanyak 10 orang dan Majlis Negeri 44 orang yang terdiri daripada 22 dipilih oleh rakyat secara tidak langsung dari Majlis Daerah ke Majlis Penasihat Bahagian dan akhirnya ke Majlis Negeri. Pada tahun 1959 pilihanraya untuk Majlis Tempatan diadakan. Ahli Majlis Daerah memilih wakil-wakil ke Majlis Bahagian dan mereka pula akan memilih wakil-wakil ke Majlis Mesyuarat Negeri. Pilihan raya untuk memilih Majlis Tempatan ini terus dikekalkan sehingga Sarawak bergabung membentuk Malaysia.

Pada tanggal 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana menteri kepada Persekutuan Tanah Melayu telah mengwar-warkan tentang gagasan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada 5 buah negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak. Antara sebab-sebab keatas cadangan pembentukan gagasan ini bagi menyekat pengaruh komunis yang mula menular di Asia Tenggara, mengimbangi jumlah penduduk dan meningkatkan kemajuan ekonomi serta mempercepatkan proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara yang masih lagi merupakan negara jajahan Koloni British pada masa itu sedangkan Persekutuan Tanah Melayu sudahpun merdeka pada 31 Ogos 1957.

Pada dasarnya Singapura menyambut baik idea pembentukan gagasan tersebut manakala Brunei enggan menyertainya sejak dari awal lagi. Sarawak dan Borneo Utara yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri iaitu pemerintahan Negara Berautonomi di dalam Gagasan Malaysia.

Walaupun secara dasarnya ianya telah dipersetujui tetapi bagi memberi keadilan kepada semua, pada 17 Januari 1962, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan daripada penduduk-penduduk di Borneo Utara dan Sarawak. Suruhanjaya ini dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold (Cobbold Commission) yang dianggotai oleh 5 orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha. Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Akhirnya pada 1 Ogos 1962, Laporan daripada Suruhanjaya Cobbold telah siap dan diserahkan kepada Kerajaan British. Antara intipati laporan tersebut adalah:

- Persekutuan yang ditubuhkan bersetuju dan sesuai dengan nama “Malaysia”.
- Pemberian Kuasa menentukan hal ehwal agama dan dasar imigresen di beri kuasa pada Majlis Undangan Negeri Borneo Utara dan Sarawak.
- Kaum pribumi Borneo Utara dan Sarawak diberi kedudukan istemewa dan di kekalkan.
- Perwakilan Borneo Utara dan Sarawak akan diwujudkan dalam Parlimen Malaysia.
- Bagi memudahkan pengendalian hal ehwal kewangan, kewarganegaraan, kedudukan bumiputra, kebebasan beragama,dan pendidikan, penubuhan sebuah jabatan persekutuan di cadangkan ditubuh di Sarawak dan Borneo Utara.
- Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) hendaklah ditubuhkan dan jawatankuasa ini bertanggung jawab menjamin hak dan kepentingan rakyat Borneo Utara dan Sarawak agar tidak tergugat apabila menyertai Gagasan Malaysia kelak.

Suruhanjaya ini menyimpulkan bahawa pembentukan Gagasan Malaysia harus dilaksanakan. Namun, Lord Cobbold juga menekankan bahawa semua negara yang membentuk Gagasan Malaysia sebagai rakan sejajar. Penemuan tersebut diringkaskan oleh Lord Cobbold sebagai berikut:

“About one-third of the population of each territory strongly favours early realisation of Malaysia without too much concern about terms and conditions. Another third, many of them favourable to the Malaysia project, ask, with varying degrees of emphasis, for conditions and safeguards varying in nature and extent: the warmth of support among this category would be markedly influenced by a firm expression of opinion by Governments that the detailed arrangements eventually agreed upon are in the best interests of the territories. The remaining third is divided between those who insist on independence before Malaysia is considered and those who would strongly prefer to see British rule continue for some years to come. If the conditions and reservations which they have put forward could be substantially met, the second category referred to above would generally support the proposals. Moreover once a firm decision was taken quite a number of the third category would be likely to abandon their opposition and decide to make the best of a doubtful job. There will remain a hard core, vocal and politically active, which will oppose Malaysia on any terms unless it is preceded by independence and self-government: this hard core might amount to near 20 per cent of the population of Sarawak and somewhat less in North Borneo.”
—Lord Cobbold, Cobbold Commission

Setelah kata sepakat dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Gagasan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Borneo Utara pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg. Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kesemua negara gabungan berserta Kerajaan British bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membenarkan negara-negara ini bergabung untuk membentuk Gagasan Malaysia dan Gagasan Malaysia hanya akan wujud pada 31hb Ogos, 1963. Jadi Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan Borneo Utara merdeka pada 31 Ogos 1963.

Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoriti penduduk North Borneo (Sabah) dan Sarawak tersebut menyokong untuk membentuk Gagasan Malaysia. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah gagasan yang dikenali sebagai Malaysia.

Bagi merealisasikan janji kepada Sarawak dan Borneo Utara yang telah bersetuju untuk membentuk gagasan Malaysia dengan berkerajaan sendiri maka terdapat perkara yang dikhaskan untuk kedua-dua negara ini yang dikenali sebagai Perkara 18 bagi Sarawak dan 20 bagi Borneo Utara di dalam Perjanjian Malaysia 1963. PERKARA 18/20 INILAH YANG MENJADIKAN SARAWAK SEBAGAI SEBUAH NEGARA BERAUTONOMI DI DALAM PEMBENTUKAN NEGARA BERGELAR GAGASAN MALAYSIA.

Inilah rentetan sejarah perjalanan sebuah Negara Merdeka yang bergelar Negara Sarawak Bumi Kenyalang. 22hb Julai 2013 ini adalah HARI PERAYAAN JUBLI EMAS KEMERDEKAAN SARAWAK dan adalah perlu untuk kita merayakannya. MENJADI HARAPAN BORNEO ORACLE ATAU MUNGKIN SELURUH RAKYAT SARAWAK AGAR TARIKH KERAMAT INI DIINGATI DENGAN MEMBERIKAN CUTI UMUM KEPADA BAGI NEGARA SARAWAK KERANA HANYA DENGAN ITU RAKYAT AKAN MUDAH MENGINGATINYA SABAN TAHUN. MARILAH RAKYAT SARAWAK KITA PERJUANGKAN SEJARAH KITA YANG SEBENAR KERANA INI HAK KITA. KITA PERHEBATKAN KESEDARAN KITA AGAR SEJARAH KITA TIDAK DILUPAKAN OLEH GENERASI MUDA KITA.

TANPA SEJARAH LEPAS TIADALAH KITA SEKARANG.

Borneo Oracle Negara Sarawak Bumi Kenyalang

Borneo Oracle :: Sejarah Borneo Airways

SEJARAH SYARIKAT PENERBANGAN YANG PERNAH BEROPERASI DI SARAWAK - BORNEO AIRWAYS



Dari Facebook Borneo Oracle
 


Sebut sahaja Air Asia sudah tentu ramai rakyat Sarawak terbayang akan tambang murah yang disediakan dan apabila disebut Malaysia Airlines System tentu ramai yang terbayang layanan kelas pertama apabila menjadi penumpangnya. Tetapi apabila disebut Borneo Airways mungkin ramai rakyat Sarawak terutama sekali generasi muda Sarawak terpinga-pinga, pernah wujudkah syarikat penerbangan seperti itu di Sarawak? Jawapannya pernah tetapi syarikat penerbangan ini hanya wujud suatu ketika dahulu dan inilah syarikat penerbangan yang menjadi nadi kepada pengangkutan udara ke seluruh Pulau Borneo yang mencakupi Sarawak, Sabah dan Negara Brunei Darussalam. Inilah artikel yang akan dipaparkan untuk pembaca Borneo Oracle pada kali ini iaitu Sejarah Syarikat Penerbangan Yang Pernah Beroperasi Di Sarawak iaitu Borneo Airways.

Ketika Sarawak, Sabah dan Brunei masih lagi menjadi tanah jajahan Koloni British yang dikenali sebagai pentadbiran British Borneo, pihak British Borneo telah menubuhkan sebuah syarikat penerbangan yang dikenali sebagai Borneo Airways Limited. Syarikat Borneo Airways Limited ini merupakan penghubung kepada ketiga-tiga negara ini kepada dunia luar melalui penerbangan udaranya ke Singapura selain menghubungkan penerbangan udara antara 3 negara jajahan British ini. Borneo Airways Limited beroperasi sekitar tahun 1950an sehingga 1965. Penerbangan Borneo Airways Limited ini bukannya bertindak sebagai penerbangan awam iaitu penerbangan mengangkut penumpang tetapi juga bertindak sebagai kapal kargo yang membawa semua mel udara dan lain-lain lagi. Bagi pegawai-pegawai British yang bertugas di Borneo pada ketika itu sudah tentu banyak mel udara dan kargo untuk keluarga mereka di England jadi kesemua ini akan dihantar ke Singapura sebelum diteruskan untuk penerbangan yang seterusnya daripada Singapura dan ke seluruh dunia pada masa itu.

Sekitar tahun 1962, telah berlaku satu pembelian asset dan saham yang menjadi milikan kepada Sabah Airways Limited iaitu satu syarikat penerbangan yang dipunyai oleh Straits Steamship Company Limited. Dikatakan bahawa Sabah Airways Limited menghadapi kekurangan dana untuk beroperasi jadi memerlukan injeksi modal untuk meneruskan perniagaan mereka jadi Borneo Airways Limited telah membeli saham-saham Sabah Airways Limited dan akhirnya setelah pendaftaran semula perniagaan maka Borneo Airways Limited telah ditukar nama kepada Borneo Airways.

Apabila Sarawak dan Sabah membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan Malaya pada tahun 1963, kesemua hal ehwal kargo dan mel udara daripada Sabah dan Sarawak telah diuruskan oleh Malayan Airlines yang menjadi penghubung kepada Sarawak dan Sabah kepada dunia luar. Ketika itu Borneo Airways terus meneruskan perkhidmatan untuk penerbangan tempatan antara Sarawak dan Sabah serta Brunei. Malayan Airways yang kemudiannya bertukar nama kepada Malaysian-Singapore Airlines terus memainkan peranan untuk menghubungkan Kuching dan Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur dan Singapura pada masa itu. Pada tahun 1965, Singapura telah keluar daripada Gagasan Malaysia atas sebab-sebab tertentu dan Negara Singapura telah menubuhkan syarikat penerbangan sendiri yang dikenali sebagai Singapore Airlines. Malaysia pula telah menukar nama syarikat penerbangannya daripada Malaysia Singapore Airlines kepada Malaysia Airlines. Dan pada tahun itulah juga kesemua saham-saham dan milikan Borneo Airways dibeli oleh Malaysia Airlines System dan kesemua urusan pengangkutan udara telah didominasi oleh MAS. Sejak daripada itu Borneo Airways terus tidak digunakan lagi dan terkubur.

Sepanjang Borneo Airways beroperasi di Sarawak, Borneo Airways sebenarnya tidak menyediakan kaunter jualan tiket penerbangan sebaliknya sepanjang operasi, ianya telah melantik Sarawak Steamship Limited yang beribu pejabat di Kuching, Sarawak sebagai agen jualan tiket mereka bagi wilayah Sarawak pada waktu itu. Namun setelah perniagaan bertukar ianya tidak lagi menjadi agen jualan tiket sebaliknya Malaysia Singapore Airlines dan seterusnya Malaysia Airlines System menguruskan kesemua urusan perniagaan melalui kaunter mereka sendiri.

Sekitar tahun 1997, “Borneo Airways” sekali lagi ditubuhkan tetapi ianya adalah berlainan entiti perniagaan kerana pada masa itu Royal Brunei Airlines telah memutuskan perniagaan mereka dengan Hornbill Skyways. Namun begitu “Borneo Airways” yang baru setahun beroperasi ini sekali lagi lenyap daripada sejarah penerbangan di Sarawak apabila sekali lagi ianya ditutup setelah beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Inilah sekelumit sejarah syarikat penerbangan di Sarawak yang pernah gah mendominasi ruang udara antara Sarawak, Sabah dan Brunei suatu ketika dahulu yang akhirnya terus hilang di dalam lipatan penerbangan di Sarawak mahupun Pulau Borneo sekarang. Semoga sejarah ringkas ini akan dapat membantu generasi Sarawak mengenal suatu nama yang pernah berjasa kepada kita rakyat Sarawak suatu waktu dahulu.

Borneo Oracle Borneo Airways

Borneo Oracle :: Lagenda Keling & Kumang di Dalam Masyarakat Iban Sarawak

LEGENDA KELING & KUMANG DI DALAM MASYARAKAT IBAN SARAWAK


Dari Facebook Borneo Oracle




Bila ada pertandingan Keling Dan Kumang Gawai apabila tiba Perayaan Pesta Gawai di Sarawak sudah tentu ramai yang akan tersenyum-senyum membayangkan betapa cantik dan gagah perkasanya peserta-peserta pertandingan tersebut. Namun begitu kita mungkin tidak mengetahui bahawa ada legenda bagi pertandingan yang telah dicatatkan di dalam kalendar pelancongan ini. Cerita ini dikenali sebagai Legenda Keling dan Kumang di dalam masyarakat Iban, Sarawak.

Menurut cerita lisan orang-orang tua di dalam masyarakat Iban, Keling ialah nama seorang pahlawan Iban yang tinggal di rumah panjang Panggau Libau Lendat Dibiau Takang Isang. Keling ini diceritakan sebagai seorang yang berpesonaliti idaman setiap lelaki berbangsa Iban pada waktu itu. Keling digambarkan sebagai seorang lelaki yang gagah, berani, berbadan tegap dan mempunyai wajah yang tampan. Keling telahpun berkahwin dengan seorang gadis Iban yang bernama Kumang. Kumang diceritakan berasal daripada rumah panjang Gelong Batu Nakong Nyingit Nyingong Nyimbang Nyerabang. Sesuai dengan ketampanan Keling, Kumang pula diceritakan sebagai seorang wanita Iban yang cantik, lemah lembut dan pandai di dalam serba-serbi untuk menjadi seorang isteri dambaan suami pada ketika itu. Bolehlah digambarkan bahawa perkahwinan Keling dan Kumang umpama bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama padan.

Pada satu ketika diceritakan bahawa isteri Keling, Kumang telah diculik bersama-sama dengan Lulong, isteri kepada sahabat baik Keling iaitu Laja. Kejadian ini berlaku apabila Kumang dan Lulong sedang mencari ikan (mansai) di sebatang sungai. Sedang mereka asyik mencari ikan itu tanpa mereka sedari mereka telah melencong jauh sehingga ke kawasan sempadan yang dijaga oleh Apai Sabit Berkait. Kerana melihat kepada kecantikan kedua-dua wanita ini terutamanya Kumang, Apai Sabit Berkait telah bertindak menyimpan mereka di dalam sangkar besi di rumahnya. Keling dan Laja yang gundah gulana kerana risau memikirkan kehilangan isteri-isteri mereka akhirnya mendapat berita bahawa Apai Sabit Berkait yang empunya kerja itu. Keling bertemankan Laja terus pergi ke kawasan Apai Sabit Berkait dan sebelum dia sampai ke kawasan dimana tempat isterinya disembunyikan, Keling telah menggunakan kuasa ghaibnya atau Tau Ajih. Kuasa ghaib ini akan membolehkan beliau menghilangkan diri daripada penglihatan musuh. Dengan mudahnya Keling dapat melepaskan isterinya Kumang dan Lulong tanpa disedari oleh Apai Sabit Berkait.

Kerana kesaktian pahlawan Keling ini maka dikatakan bahawa selepas pemergian beliau barangsiapa yang mendapat mimpi didatangi beliau akan menjadi seorang yang berani dan menjadi pahlawan atau dipanggil Raja Berani. Di dalam cerita lisan orang-orang tua masyarakat Iban ada mengatakan bahawa beberapa pahlawan Iban seperti Dana Bersumbar Bayang, Orang Kaya Pemancha Nanang dan Unggang Lebor Menua menjadi pahlawan yang berani dan tidak takut berani serta gagah yang amat sangat sehingga sukar untuk dikalahkan adalah kerana telah mendapat “bantuan” secara batin melalui mimpi oleh Keling.

Walau bagaimanapun bentuk penceritaan legenda Keling dan Kumang ini yang diperturunkan dari zaman berzaman melalui penceritaan dari mulut ke mulut, namun Keling dan Kumang sememangnya amat dihormati dan mempunyai kaitan yang rapat dengan adat dan tradisi masyarakat Iban. Keling dan Kumang bolehlah diistilahkan sebagai “role models” di dalam masyarakat Iban.

Borneo Oracle Sarawak Heritage

Borneo Oracle :: Sejarah Matawang Malaya dan British Borneo Dollar

SEJARAH MATAWANG MALAYA DAN BRITISH BORNEO DOLLAR


Dari Facebook Borneo Oracle






Suatu waktu dahulu kita pernah mempunyai matawang sendiri yang digelar Sarawak Dollar iaitu semasa Negara Sarawak dibawah pemerintahan Keluarga Brooke yang memerintah Sarawak selama lebih kurang 100 tahun. Setelah pendudukan Jepun pula kita di Sarawak juga telah menggunakan Matawang Daun Pisang Jepun dan mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah pula matawang yang digunakan oleh Sarawak sewaktu ianya dibawah jajahan Koloni British. Untuk kali ini, artikel yang akan dipaparkan oleh Borneo Oracle adalah Sejarah Matawang Malaya dan British Borneo Dollar yang juga merupakan matawang yang diperkenalkan kepada mana-mana jajahan Koloni British pada suatu waktu dahulu.

Malaya dan British Borneo Dolar adalah matawang Malaya, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (Sabah) dan Brunei pada tahun 1953 hingga 1967. Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31hb Ogos 1957, matawang ini tetap terus digunakan walaupun pembentukan Gagasan Malaysia pada 16 September 1963 oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura direalisasikan.

Pada 12hb Jun 1967, kelima-lima negara iaitu Gagasan Malaysia ( Persekutuan Tanah Melayu + Sabah + Sarawak), Negara Singapura yang keluar daripada Gagasan Malaysia pada tahun 1965 dan membentuk negara sendiri serta Negara Brunei Darussalam yang menggunakannya telah memutuskan untuk mengeluarkan nota matawang mereka sendiri namun tetap menyimpannya sebagai pertukaran matawang pada peringkat par. Walau bagaimanapun negara yang membentuk Gagasan Malaysia pada masa itu telah menarik diri daripada perjanjian tersebut pada tahun 1973. Namun untuk Negara Singapura dan Negara Brunei Darussalam, kedua-dua negara ini masih lagi meneruskan perjanjian ini sehinggalah ke hari ini.

Bagi memperingati peristiwa yang penuh bermakna ini pada 27hb Jun 2007, Negara Brunei Darussalam dan Negara Singapura telah mengabadikan peristiwa yang penuh bermakna ini dengan kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengeluarkan matawang nota polimer bernilai $20 dengan menggunakan warna yang sama dan rekabentuk di bahagian belakang nota masing-masing.

Inilah sekelumit sejarah matawang Dollar Malaya dan British Borneo yang pernah menjadi matawang bagi rakyat Sarawak suatu waktu dahulu. Walaupun perjanjian antara negara ini telah terbatal namun begitu Negara Singapura dan Negara Brunei Darussalam tetap masih lagi menggunakannya sehingga ke hari ini dengan matawang Dollar Singapura dan Dollar Brunei manakala Gagasan Malaysia terus menggunakan Ringgit Malaysia sehinggalah sekarang.

Borneo Oracle Sarawak History

Borneo Oracle :: Misteri Segitiga Borneo

MISTERI SEGI TIGA BORNEO – SURATAN ATAU SATU KEBETULAN????


Dari Facebook Borneo Oracle







Bermuda Triangle atau Segi Tiga Bermuda, satu nama tempat yang mungkin tidak asing bagi rakyat di seluruh dunia. Misteri kehilangan kapal-kapal besar di kawasan yang dinamakan Segi Tiga Bermuda sudah tentu sering menjadi igauan ngeri bagi pelayar-pelayar yang melaluinya. Namun begitu, pernahkah kita terutama sekali rakyat Sabah dan Sarawak mengetahui tentang kewujudan sebuah tempat yang dinamakan SEGI TIGA BORNEO? Untuk paparan kali ini, Borneo Oracle akan mengajak pembaca sekalian untuk mengenali sebuah kawasan yang dikatakan amat misteri yang dikenali sebagai MISTERI SEGI TIGA BORNEO – Suratan atau satu Kebetulan???

Segi Tiga Borneo sememangnya wujud di Pulau Borneo iaitu kedudukannya adalah antara Bario. Pa’Lungan dan Gunung Murut di Sarawak Bumi Kenyalang. Yang membezakan Segi Tiga Borneo dengan Segi Tiga Bermuda adalah Segi Tiga Borneo kedudukannya di atas daratan dengan diliputi oleh hutan belantara dan gunung ganang manakala Segi Tiga Bermuda merupakan hamparan lautan yang luas. Dan apabila memperkatakan kedudukan kawasan bergunung ganang dan hutan belantara sudah tentu Segi Tiga Borneo adalah satu yang menggerunkan untuk juruterbang-juruterbang kapal udara yang merupakan antara pengangkutan yang paling cepat serta kedua popular di Sarawak Bumi Kenyalang.

Menurut sumber, sejak pengangkutan udara diperkenalkan di Sarawak Bumi Kenyalang telah banyak kejadian kapalterbang dan helicopter terhempas di kawasan yang dikenali sebagai Segi Tiga Borneo ini. Yang terakhir adalah pada tanggal 12hb Julai 2004 yang mana sebuah helicopter jenis Bell 206 Ranger kepunyaan Hornbill Skyways yang di dalam perjalanan untuk meninjau projek hidro elektrik yang membawa seorang Menteri Sarawak iaitu Yang Berhormat Dr. Judson Sakai Tagai telah terhempas di kawasan ini. Kejadian ini telah mendapat liputan yang meluas dari media massa samada dalam atau luar negara. Ianya juga telah dibentangkan di Parlimen Malaysia pada masa itu dan hanya setelah 20 hari di dalam Operasi Mencari dan Menyelamat barulah bangkai helicopter ini ditemui. Yang menjadi misteri adalah di dalam Operasi ini bantuan kepakaran daripada luar negara telah diperolehi daripada luar negara namun segala peralatan canggih dan moden tidak juga dapat membantu malah dikatakan tidak dapat berfungsi langsung. Inilah antara kejadian misteri yang terpaksa dihadapi oleh pasukan penyelamat. Dikatakan juga kejayaan operasi ini sebenarnya menemui noktahnya apabila bantuan mistik telah digunakan. Begitu “Keras” kawasan ini sehinggakan bantuan bomoh yang terkenal daripada masyarakat tempatan Ba’Kelalan telah digunakan dan akhirnya ia berjaya dilakukan. Mungkin jampi serapah dan khidmat pengantara yang digunakan di dalam dunia mistik untuk berkomunikasi dengan penunggu hutan tebal di Ba’Kelalan telah membenarkan mata manusia biasa untuk melihat dimanakah kedudukan sebenar lokasi kemalangan. Hanya Tuhan yang maha berkuasa mampu mengungkaikannya…..

Bagi yang hanya mempercayai hukum logik daripada mistik, kawasan Segi Tiga Borneo dikatakan antara salah satu kawasan penerbangan yang cukup mencabar kerana ia menjanjikan 1,001 kemungkinan kepada juruterbang yang bakal melaluinya. Tidak ada apa yang boleh dijangkakan dengan tepat jika melalui laluan itu, baik dari segi cuaca mahu pun tiupan angin kerana kedua-dua fenomena alam itu boleh berubah dengan pantas. Kedudukannya yang tinggi dari aras laut iaitu melebihi 600 meter, ditambah bentuk muka bumi bergunung-ganang menambahkan lagi kesukaran kerana ia menyempitkan ruang penerbangan yang ada. Sekiranya pesawat terhempas di kawasan tersebut, harapan mangsa untuk hidup adalah tipis jika lambat diselamatkan. Mangsa mungkin boleh bertahan beberapa hari dengan memakan serangga dan pucuk-pucuk kayu tetapi faktor cuaca yang tidak menentu serta sukar diramalkan akan menambah derita pada mereka yang masih hidup. Di situ, suhunya adalah antara 14 hingga 16 darjah Celsius dan di dalam hutan tebal tentunya lebih sejuk. Bentuk geografi yang bertebing curam pula menyukarkan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR). Untuk sampai ke lokasi sejauh satu kilometer sahaja memerlukan masa sekurang-kurangnya empat jam. Bagi operasi dari udara, faktor cuaca yang berkabus dan pokok rendang menghadkan penglihatan juruterbang memantau lokasi kejadian.

Inilah sekelumit kisah Misteri Segi Tiga Borneo yang kedudukannya terletak di Sarawak Bumi Kenyalang yang telah banyak “memakan nyawa” manusia sejak di zaman Koloni British lagi. Segala kejadian mistik di dalam operasi menyelamat kemalangan mungkin juga adalah satu misteri atau mungkin juga satu suratan atau satu kebetulan di dalam kita memperkatakan hukum alam semulajadi di dunia ini. Sesungguhnya hanya Tuhan yang maha berkuasa mengetahui segalanya dan kita sebagai hambanya haruslah bertawakal dan berusaha sahaja

Borneo Automotif :: Awas bila jumping kereta!


Malang terkadang mungkin tidak berbau.. mungkin kita tidak ada kepandaian didalam bab itu.. main redah aje. Sebenar banyak cara juga orang membuat jumping ini. Boleh sahaja anda google :) Jangan mengambil risiko jika kita tidak berapa pandai :) Sesetengah orang membuat jumping semasa kereta yang satu lagi masih hidup enjinnya terus jamping sahaja.


Di atas pengalaman saya sendiri pernah juga membuat jumping ini. Saya lebih memilih cara kedua-dua enjin kereta dimatikan. Selepas itu sila pastikan sambungan wayar adalah betul jangan tersalah. Wayar (merah) positif ke positif dan wayar (hitam) negatif ke negatif. :) Dan baru kita hidupkan kereta yang baterinya 'kong' tadi. Lebih selamat sikit kut bagi kita yang tidak berapa mahir ini :) Dibawah ini kereta yang telah hangus di atas kesilapan membuat Jumper :( 
 
 
 
Langkah keselamatan Sila pastikan sambungan wayar adalah betul. Wayar (merah) positif ke positif dan wayar (hitam) negatif ke negatif. Tersilap sambung, wayar jumper bateri kereta akan hasilkan percikan api, berasap, lebur atau menyebabkan kerosakan komponen kereta yang lain. Jika nasib tidak baik, kereta kemungkinan akan hangus terbakar.

Moralnya berhati-hati jika anda membuat Jumping Start pada kereta anda. Jika tersilap melakukan Jump Start. Mungkin kereta anda akan mengalami nasib seperti diatas. Agaknya kalau tidak berapa pandai dan yakin panggilah mereka yang berpengalaman. :) Penting juga kita sentiasa membawa jumper ini. Manalah tahu ada ketika kita memerlukan benda ini.

Wassalam, Wa'allahhualam.