MISTERI SEGI TIGA BORNEO – SURATAN ATAU SATU KEBETULAN????
Dari Facebook Borneo Oracle
Bermuda Triangle atau Segi Tiga Bermuda, satu nama tempat yang mungkin
tidak asing bagi rakyat di seluruh dunia. Misteri kehilangan kapal-kapal
besar di kawasan yang dinamakan Segi
Tiga Bermuda sudah tentu sering menjadi igauan ngeri bagi
pelayar-pelayar yang melaluinya. Namun begitu, pernahkah kita terutama
sekali rakyat Sabah dan Sarawak mengetahui tentang kewujudan sebuah
tempat yang dinamakan SEGI TIGA BORNEO? Untuk paparan kali ini, Borneo
Oracle akan mengajak pembaca sekalian untuk mengenali sebuah kawasan
yang dikatakan amat misteri yang dikenali sebagai MISTERI SEGI TIGA
BORNEO – Suratan atau satu Kebetulan???
Segi Tiga Borneo
sememangnya wujud di Pulau Borneo iaitu kedudukannya adalah antara
Bario. Pa’Lungan dan Gunung Murut di Sarawak Bumi Kenyalang. Yang
membezakan Segi Tiga Borneo dengan Segi Tiga Bermuda adalah Segi Tiga
Borneo kedudukannya di atas daratan dengan diliputi oleh hutan belantara
dan gunung ganang manakala Segi Tiga Bermuda merupakan hamparan lautan
yang luas. Dan apabila memperkatakan kedudukan kawasan bergunung ganang
dan hutan belantara sudah tentu Segi Tiga Borneo adalah satu yang
menggerunkan untuk juruterbang-juruterbang kapal udara yang merupakan
antara pengangkutan yang paling cepat serta kedua popular di Sarawak
Bumi Kenyalang.
Menurut sumber, sejak pengangkutan udara
diperkenalkan di Sarawak Bumi Kenyalang telah banyak kejadian
kapalterbang dan helicopter terhempas di kawasan yang dikenali sebagai
Segi Tiga Borneo ini. Yang terakhir adalah pada tanggal 12hb Julai 2004
yang mana sebuah helicopter jenis Bell 206 Ranger kepunyaan Hornbill
Skyways yang di dalam perjalanan untuk meninjau projek hidro elektrik
yang membawa seorang Menteri Sarawak iaitu Yang Berhormat Dr. Judson
Sakai Tagai telah terhempas di kawasan ini. Kejadian ini telah mendapat
liputan yang meluas dari media massa samada dalam atau luar negara.
Ianya juga telah dibentangkan di Parlimen Malaysia pada masa itu dan
hanya setelah 20 hari di dalam Operasi Mencari dan Menyelamat barulah
bangkai helicopter ini ditemui. Yang menjadi misteri adalah di dalam
Operasi ini bantuan kepakaran daripada luar negara telah diperolehi
daripada luar negara namun segala peralatan canggih dan moden tidak juga
dapat membantu malah dikatakan tidak dapat berfungsi langsung. Inilah
antara kejadian misteri yang terpaksa dihadapi oleh pasukan penyelamat.
Dikatakan juga kejayaan operasi ini sebenarnya menemui noktahnya apabila
bantuan mistik telah digunakan. Begitu “Keras” kawasan ini sehinggakan
bantuan bomoh yang terkenal daripada masyarakat tempatan Ba’Kelalan
telah digunakan dan akhirnya ia berjaya dilakukan. Mungkin jampi serapah
dan khidmat pengantara yang digunakan di dalam dunia mistik untuk
berkomunikasi dengan penunggu hutan tebal di Ba’Kelalan telah
membenarkan mata manusia biasa untuk melihat dimanakah kedudukan sebenar
lokasi kemalangan. Hanya Tuhan yang maha berkuasa mampu
mengungkaikannya…..
Bagi yang hanya mempercayai hukum logik
daripada mistik, kawasan Segi Tiga Borneo dikatakan antara salah satu
kawasan penerbangan yang cukup mencabar kerana ia menjanjikan 1,001
kemungkinan kepada juruterbang yang bakal melaluinya. Tidak ada apa yang
boleh dijangkakan dengan tepat jika melalui laluan itu, baik dari segi
cuaca mahu pun tiupan angin kerana kedua-dua fenomena alam itu boleh
berubah dengan pantas. Kedudukannya yang tinggi dari aras laut iaitu
melebihi 600 meter, ditambah bentuk muka bumi bergunung-ganang
menambahkan lagi kesukaran kerana ia menyempitkan ruang penerbangan yang
ada. Sekiranya pesawat terhempas di kawasan tersebut, harapan mangsa
untuk hidup adalah tipis jika lambat diselamatkan. Mangsa mungkin boleh
bertahan beberapa hari dengan memakan serangga dan pucuk-pucuk kayu
tetapi faktor cuaca yang tidak menentu serta sukar diramalkan akan
menambah derita pada mereka yang masih hidup. Di situ, suhunya adalah
antara 14 hingga 16 darjah Celsius dan di dalam hutan tebal tentunya
lebih sejuk. Bentuk geografi yang bertebing curam pula menyukarkan
kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR). Untuk sampai ke lokasi sejauh
satu kilometer sahaja memerlukan masa sekurang-kurangnya empat jam. Bagi
operasi dari udara, faktor cuaca yang berkabus dan pokok rendang
menghadkan penglihatan juruterbang memantau lokasi kejadian.
Inilah sekelumit kisah Misteri Segi Tiga Borneo yang kedudukannya
terletak di Sarawak Bumi Kenyalang yang telah banyak “memakan nyawa”
manusia sejak di zaman Koloni British lagi. Segala kejadian mistik di
dalam operasi menyelamat kemalangan mungkin juga adalah satu misteri
atau mungkin juga satu suratan atau satu kebetulan di dalam kita
memperkatakan hukum alam semulajadi di dunia ini. Sesungguhnya hanya
Tuhan yang maha berkuasa mengetahui segalanya dan kita sebagai hambanya
haruslah bertawakal dan berusaha sahaja