Monday, June 9, 2014

SEJARAH PURBA KESULTANAN SARAWAK DARULHANA DENGAN KERAJAAN KERATON IV, KESULTANAN SAMBAS




 Credit to Facebook Borneo Oracle

Kesultanan Sarawak Darulhana, itulah nama satu Kesultanan yang pernah bertapak di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Penerangan tentang Kesultanan Sarawak Darulhana dengan Sultan Pertama dan Terakhirnya iaitu Sultan Tengah telahpun Borneo Oracle nyatakan di dalam artikel yang terdahulu. Untuk paparan kali ini, Borneo Oracle akan menyingkap hubungkait Kesultanan Sarawak Darulhana dengan Kesultanan Sambas Darussalam yang juga dikenali sebagai Kerajaan Keraton IV, Kalimantan Barat Indonesia. Diharap kaitan sejarah yang jarang-jarang diketengahkan ini akan membuka minda generasi Sarawak tentang betapa pentingnya hubungan kerajaan nusantara suatu waktu dahulu di dalam memastikan kesinambungan peradaban melayu dan Islam di Nusantara.

Kesultanan Sarawak Darulhana adalah satu kesultanan yang dimulai oleh Sultan Ibrahim Ali Omar Syah atau lebih dikenali dengan Sultan Tengah. Jejak peninggalan Sultan Tengah sekarang terdapat di Makam Sultan Tengah di Santubong, Kuching Sarawak. Sultan Tengah diriwayatkan menerima Sarawak daripada kakandanya yang merupakan Sultan ke-10 Kesultanan Brunei iaitu Sultan Abdul Jalilul Akhbar pada tahun 1599 masihi. Sesuatu yang wajar kita ketahui bahawa Sultan Tengah selepas diangkat menjadi Sultan Sarawak telah pergi mengembara dan pernah tinggal berbelas tahun di sebuah kerajaan bernama Kerajaan Keraton III, Kerajaan Sambas. Kerajaan Sambas telahpun wujud semenjak abad ke 13 masihi lagi dan ini dapat disahihkan melalui sebuah manuskrip lama bernama Negarakertagama karya agung daripada Prapanca yang ditulis pada tahun 1365 masihi. Dinyatakan pada masa itu Kerajaan Sambas tidaklah sebuah kerajaan Islam pada waktu itu sebaliknya merupakan sebuah kerajaan yang dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu seperti bagaimana kerajaan Majapahit pada masa itu.

Hubungan antarabangsa nusantara bermula sewaktu wujudnya Kerajaan Sambas dibawah pemerintahan Ratu Sapudak yang berpusat di hulu Sungai Sambas yang sekarang disebut sebagai “Kota Lama”. Ratu Sapudak adalah raja yang ke-3 Kerajaan Sambas dengan gelaran Ratu adalah gelaran untuk Raja lelaki di Kerajaan Sambas pada suatu masa dahulu. Asal-usul Kerajaan Sambas ini dimulai ketika satu rombongan besar Bangsawan Jawa beragama Hindu yang melarikan diri dari timur Pulau Jawa kerana diserang dan ditumpaskan oleh Kesultanan Demak dibawah pimpinan Sultan Trenggono (Sultan Demak ke-3) pada sekitar tahun 1525 M. Setelah lebih 10 tahun menetap di hulu Sungai Sambas, rombongan Bangsawan Jawa ini mendapati bahawa wilayah Sungai Sambas ini aman dan kondusif sehingga mereka mendirikan lagi sebuah kerajaan yang digelar Kerajaan Sambas yang beragama Hindu. Raja pertama tidak diketahui siapa tetapi anakandanya adalah Ratu Timbang Paseban merupakan raja yang kedua yang kemudiannya diganti oleh adindanya Ratu Sapudak.

Pada masa pemerintahan Ratu Sapudak inilah rombongan Sultan Tengah yang terdiri dari keluarga dan pengikutnya datang dari Kesultanan Sarawak dengan menggunakan 40 buah perahu yang lengkap dengan alat senjata. Rombongan Baginda Sultan Tengah ini kemudian disambut dengan baik oleh Ratu Sapudak dan Sultan Tengah dan rombongannya dijemput untuk menetap di sebuah tempat yang kemudian disebut dengan nama "Kembayat Sri Negara". Ratu Sapudak pun kemudian wafat secara mendadak dan diganti oleh anak saudaranya iaitu Raden Kencono, putera kepada Ratu Timbang Paseban. Setelah menaiki takhta, Raden Kencono ini kemudian bergelar Ratu Anom Kesumayuda. Raden Kencono ini sekaligus juga menantu kepada Ratu Sapudak kerana anakanda Ratu Sapudak, Mas Ayu Anom menjadi permaisurinya. Sulaiman iaitu putera sulung kepada Sultan Tengah telah dikahwinkan dengan Mas Ayu Bungsu iaitu puteri bongsu kepada Ratu Sapudak dan kerana Sulaiman merupakan biras kepada Raden Kencono maka dijadikan Sulaiman sebagai salah seorang Menteri Besar di dalam Kerajaan Sambas dengan mengguna nama Raden Sulaiman. Sebagai Menteri Besar, Raden Sulaiman bertanggungjawab kepada urusan hubungan dengan negara luar dan pertahanan negeri. Setelah beberapa ketika, Raden Sulaiman dan Mas Ayu Bungsi dianugerahkan dengan seorang putera iaitu Raden Bima.

Setelah beberapa lama di Kerajaan Sambas akhirnya Sultan Tengah berangkat pulang ke Sarawak bersama-sama dengan isterinya Puteri Surya Kesuma berserta putera dan puterinya iaitu Badaruddin, Abdul Wahab, Puteri Rasmi dan Ratna Dewi. Baginda wafat di Santubong akibat ditikam oleh pengikut baginda sendiri dan akhirnya disemadikan di kaki Gunung Santubong. Puteri Surya Kesuma dan anakanda-anakandanya selepas itu terus pulang ke Kerajaan Sukadana dimana Puteri Surya Kesuma berasal. Sepeninggalan ayahandanya dan kaum keluarga Raden Sulaiman ke negara Sarawak, Raden Sulaiman telah mendapat tentangan yang hebat daripada Raden Aryo Mangkurat. Raden Aryo Mangkurat dikhabarkan adalah penganut agama Hindu tegar manakala Raden Sulaiman pula dikatakan amat mendokongi perluasan syiar Islam di Kerajaan Sambas. Dikatakan sepanjang beliau menjadi Menteri Besar, penganut agama Islam semakin bertambah di dalam Kerajaan Sambas dan ini tidak menyenangkan hati Raden Aryo Mangkurat. Pelbagai fitnah dan taktik kotor telah digunakan oleh Raden Aryo dan akhirnya kerana tidak tertahan dengan tekanan dan melibatkan keselamatannya keluarganya maka Raden Sulaiman telah mengambil keputusan untuk berpindah. Maka berpindahlah Raden Sulaiman dengan seluruh anggota keluarganya diikuti oleh pengikut ayahandanya yang terdiri daripada mereka yang berketurunan Melayu Sarawak dan Melayu Brunei.

Penghijrahan Raden Sulaiman dan keluarganya tidaklah begitu jauh daripada Kerajaan Sambas pada masa itu iaitu mereka mula mendirikan kerajaan di sekitar Sungai Sambas Kecil. Maka bermulalah sebuah kerajaan Islam di Sambas yang bergelar Kerajaan Kesultanan Sambas. Raden Sulaiman telah ditabalkan sebagai sultan yang pertama dengan nama Sultan Muhammad Shafiuddin I. Baginda memerintah dari tahun 1631 hingga 1668. Kerana kuatnya pengembangan syiar Islam pada masa itu, Kota Sambas telah digelar Serambi Mekah. Masjid yang gah dan indah didirikan di Kerajaan Kesultanan Sambas malah Kesultanan Sambas juga menjadi pusat pendidikan Islam untuk penganut agama Islam di seluruh Kalimantan Barat pada masa itu. Kesultanan Sambas terus gah walaupun selepas kewafatan baginda kerana ianya diteruskan oleh anakandanya Raden Bima yang ditabalkan menjadi sultan ke-2 dengan nama Sultan Muhammad Tajuddin I. Di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Tajuddin I inilah ramainya golongan cendiakiawan Islam di kalangan rakyat Kerajaan Kesultanan Sambas yang mendapat pendidikan di Mesir dan menjadi mubaligh-mubaligh Islam memperluaskan syiar agama Islam di seluruh Kalimantan Barat dan seterusnya mula menyebarkannya ke seluruh Sarawak pada masa itu.

Inilah sekelumit hubungan sejarah di antara Sarawak melalui Kesultanan Sarawak dibawah Sultan Sarawak yang pertama dan terakhir Sultan Tengah dengan kerajaan nusantara di Borneo seperti Kerajaan Sambas dan juga Kerajaan Kesultanan Sambas dibawah pemerintahan puteranya Raden Sulaiman atau Sultan Muhammad Shafiuddin I. Dan kerana itulah biar apapun perkaitannya, keturunan Melayu Sarawak mahupun Melayu Brunei sentiasa ada di dalam Melayu Sambas pada masa ini. Sesungguhnya semangat nusantara kita sentiasa berhubung kait diantara satu sama lain. Diharap artikel kali ini akan dapat membantu generasi Sarawak untuk lebih mengenal sejarah-sejarah purba Sarawak yang sememangnya tidak begitu di dendangkan untuk pengetahuan kita rakyat Sarawak. Borneo Oracle sentiasa mengalu-alukan sebarang nilai tambah informasi agar kita sama-sama berkongsi ilmu pengetahuan yang ada.